fbpx

Olimpik Paris: Jin Wei masih ‘menang’ semangat walau tewas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JIN WEI terpaksa akur tersingkir pada saingan selepas tewas kepada pemain Korea Selatan dalam perlawanan sengit tiga set semalam. - AFP

PERSEORANGAN wanita profesional negara, Goh Jin Wei kempunan untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 selepas akur dengan kekalahan kepada pemain Korea Selatan, Kim Ga-eun pada aksi terakhir peringkat Kumpulan H semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena itu, bekas juara remaja dunia itu terpaksa berputih mata untuk mara ke pusingan kalah mati apabila tewas menerusi aksi tiga set 17-21, 22-20, 21-23.

Bagaimanapun, aksi ditampilkan Jin Wei wajar diberikan pujian apabila berjaya memberikan tentangan sengit terhadap lawannya yang merupakan pilihan ke-12 selain menghuni ranking lebih tinggi di tangga ke-17 dunia.

Pada perlawanan tersebut, Ga-eun bermula garang apabila meletakkan Jin Wei berada dalam tekanan, namun tidak diberikan laluan mudah oleh pemain kelahiran Pulau Pinang itu yang tidak menunjukkan sikap mudah mengaku kalah.

Pertahanan kebal dipamerkan Jin Wei bagi mengekang asakan Ga-eun bagaimanapun roboh dan terpaksa akur dengan kekalahan 17-21 di set pertama, sekali gus memaksa Jin Wei untuk bangkit di set kedua.

Aksi lebih kemas ditampilkan pemain berusia 24 tahun itu di set kedua yang menyaksikan dia berjaya mencatat kemenangan 22-20 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan, seterusnya meletakkan Ga-eun dalam keadaan tertekan.

Memasuki set ketiga, permainan Ga-eun dilihat serba tidak menjadi apabila banyak pukulannya terkeluar dari gelanggang, sekali gus memberikan mata percuma serta harapan untuk Jin Wei melangkah ke pusingan kalah mati.

Bagaimanapun, ketika berada di mata akhir 20-18, Jin Wei melakukan beberapa kesilapan mudah yang memberikan peluang untuk Ga Eun menyamakan kedudukan 20-20 sebelum memastikan kemenangan muktamad 23-21.

Sebagai rekod, Jin Wei berdepan banyak dugaan sebelum tiba di Paris, antaranya adalah ketiadaan jurulatih, Nova Armada yang tidak dapat menemaninya ekoran kuota kad akreditasi terhad dikeluarkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI