PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pahlawan negara atas jasa, khidmat bakti dan pengorbanan melindungi kedaulatan negara.
Anwar menerusi hantaran di aplikasi Facebook berkata, hari paling bermakna ini adalah bagi mengingati serta menghargai jasa para pejuang negara.
“Hari ini kita mengingati dan menghargai semua pahlawan-pahlawan negara di atas jasa, khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan tatkala melindungi kedaulatan dan keselamatan tanah air.
“Terima kasih kerana berjuang demi agama, bangsa dan negara tercinta.
“Andalah wira negara! Selamat Hari Pahlawan 2024 !!,” katanya dalam hantaran itu hari ini.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam hantaran di aplikasi Facebook juga turut mengucapkan terima kasih atas segala jasa yang dicurahkan oleh pahlawan kepada negara.
“Setiap tahun kita akan menyambut Hari Pahlawan, tanda mengenang serta menghargai jasa perajurit yang menjadi barisan hadapan melindungi kedaulatan negara dan ketenteraman rakyat.
“Terima kasih untuk segalanya, andalah wira sebenar negara,” ujarnya.
Hari Pahlawan disambut setiap 31 Julai bagi memperingati para wira yang gugur ketika berjuang untuk tanah air. – KOSMO! ONLINE