SEREMBAN – Keluarga Nour Rania Asyifaa atau Baby Syifaa melalui tempoh sukar selepas lebih dua tahun kematian bayi itu.
Ibunya, Anida Idrus, 43, berkata, keadilan bagi Baby Syifaa terjawab selepas Mahkamah Koroner di sini hari ini memaklumkan bayi berusia 15 bulan itu mati ketika berada di bawah jagaan pengasuh dan berlaku kecuaian.
“Untuk inkues, saya puas bila dengar Koroner sebut anak saya ‘brought in death’ (sudah tidak bernyawa) ketika sampai di klinik.
“Tinggalkan anak saya satu ke dua jam dalam keadaan pintu tertutup adalah tindakan tidak berperikemanusiaan, orang yang saya amanahkan, harap perkara ini menjadi pengajaran kepada pihak taska,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah selepas pendengaran keputusan inkues di Mahkamah Koroner di sini hari ini.
Anida yang sebak dan menitiskan air mata berkata, Anida yang sebak dan menitiskan air mata berkata, terima kasih semha pihak yang menyokong dan mendoakan dan bagi pihak keluarga hanya Allah yang mampu membalasnya.
“Alhamdulillah walaupun tempoh dua tahun lima bulan itu sangat panjang, kami mendapat pembelaan untuk Baby Syifaa. Semua ini untuk Syifaa.
“Tidak ada sehari pun yang mudah, anak saya sudah tiada, tidak ada apa yang boleh mengembalikannya tetapi saya sudah lama redha,” katanya.
Bapanya, Yuseri Yusoff, 41, pula berkata, pihak keluarga akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya bagi memastikan pengasuh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian.
Peguam keluarga Baby Syifaa, Gaithri Thomas pula berkata, keputusan Mahkamah Koroner itu merumuskan pengasuh yang juga saksi ke-19 kes itu cuai dengan meninggalkan bayi itu tanpa pengawasan dalam tempoh dua jam. – KOSMO! ONLINE