PETALING JAYA – Kemunculan penyerang kebangsaan, Faisal Halim dalam sebuah video iklan makanan bukan sahaja kelihatan makin ceria malah mengubat rasa rindu buat peminatnya setelah sekian lama tidak beraksi.
Menerusi video yang dimuat naik di Instagram itu, Faisal Halim atau mesra disapa Mickey kelihatan tidak kekok berlakon menjayakan watak yang diberi dalam iklan tersebut.
Bagaimanapun pergerakan Faisal Halim masih dilihat terbatas ekoran kesan melecur di tangan sebelah kiri yang masih ditutupi dengan sarung tangan.
Selain itu, meskipun kesan melecur di bahagian muka dan tangan tampak jelas kelihatan, namun keceriaan Faisal Halim dalam mengiklankan produk makanan tersebut melegakan hati ramai peminatnya.
Di penghujung video, Faisal sempat menzahirkan rasa terima kasih kepada para peminat yang mendoakan kesembuhannya selepas kejadian malang itu menimpa atas dirinya.
“Di kesempatan ini, saya nak ucap terima kasih kepada semua rakyat Malaysia. Kepada peminat-peminat Mickey yang selalu mendoa.
“Saya harap doa yang terbaik untuk saya supaya saya dapat kembali dengan cepat untuk beraksi. Kepada semua rakyat Malaysia, terima kasih kerana menyokong saya, Faisal Halim,” katanya sambil tersenyum.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati rata-rata orang ramai di ruangan komen mendoakan kesembuhan buat Mickey dan berharap dapat melihat pemain kebangsaan itu beraksi tidak lama lagi.
“Allahuakbar. Luka parut tu. Tak boleh bayang sakitnya macam mana. Semoga dipermudahkan segala urusan dan murah rezeki. Semoga cepat sembuh dan dapat main bola sepak semula,” komen Sahar.
“Mantap lah Faisal Halim, alhamdulillah nampak sihat dan ceria. Berlakon pun ada bakat,” komen Ismail Hussein.
“Kuat semangat bro Faisal Halim. Alhamdulillah dah nampak makin sihat dan ceria. Selamat kembali beraksi bang,” komen Aleza pula.
Terdahulu, pemain berusia 26 tahun itu yang juga bapa seorang anak mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di sini, 5 Mei lalu.
Setakat ini, lebih 12 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan namun masih belum ada tangkapan membabitkan pelakunya. – KOSMO! ONLINE