NEW DELHI – Hujan lebat tanpa henti dan angin kuat menghalang pencarian mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh yang melanda sebuah ladang teh India dan membunuh lebih 150 orang.
Kebanyakan mangsa dipercayai buruh dan keluarga mereka.
Hujan monsun lebat berhari-hari melanda negeri pantai selatan, Kerala, dengan jalan-jalan ke kawasan bencana yang terhalang di daerah Wayanad, menyukarkan usaha bantuan.
Angka kematian telah melepasi 150 orang, dengan kebanyakannya lemas, kata pihak berkuasa.
Tambahnya, jumlah korban dijangka meningkat selepas sekurang-kurangnya dua tanah runtuh melanda daerah Wayanad pada awal pagi semalam.
“Sejumlah penduduk dapat melarikan diri daripada kesan awal tanah runtuh, namun kemudian terperangkap dalam air banjir yang mengalir melalui sungai berhampiran,” kata seorang anggota penyelamat sukarelawan, Arun Dev kepada AFP.
“Mereka yang melarikan diri dihanyutkan bersama rumah, kuil dan sekolah,” tambahnya.
Wayanad terkenal dengan ladang teh yang merentasi kawasan desa berbukit.
Sebilangan rumah berdinding bata yang dibina untuk menampung pekerja dihempap oleh tanah runtuh ketika buruh dan keluarga mereka sedang tidur.
Bangunan-bangunan lain pula diselaputi lumpur, menyebabkan kereta, besi dan serpihan lain memenuhi sekitar lokasi bencana.
Lebih 3,000 orang mendapatkan perlindungan di kem bantuan kecemasan di sekitar daerah Wayanad, demikian menurut kerajaan negeri. – AGENSI