fbpx

Pendapatan bersih KWAP naik kepada RM9.7 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Amlizan (kiri) bersama Hazman Hilmi dalam sidang akhbar KWAP di Kuala Lumpur hari ini. -Muhamad Iqbal Rosli

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mencatatkan prestasi cemerlang tahun lalu, dengan pendapatan bersihnya merekodkan pertumbuhan lebih 36 kali ganda kepada RM9.7 bilion, berbanding RM263 juta yang dicapai pada 2022.

Ketua Pegawai Pelaburannya, Hazman Hilmi Sallahuddin berkata, ia berikutan situasi pada tahun  2022 yang sangat mencabar pada peringkat tempatan dan global, di mana pihaknya turut mengalami kerugian tidak direalisasi dalam pendedahan tempatan serta di luar negara.

Sementara itu, saiz dana keseluruhan KWAP bertumbuh 7.4 peratus pada 2023 untuk mencapai RM169.8 bilion.

Angka tersebut selepas mengambil kira pengeluaran dana KWAP sebanyak RM3 bilion untuk membiayai sebahagian daripada liabiliti pencen kerajaan. 

“KWAP turut menyampaikan pulangan pelaburan sebanyak 8.2 peratus bagi tahun 2023.

“Sepanjang tahun lalu, KWAP kekal sebagai pelabur utama di Malaysia dengan 75.6 peratus daripada aset pelaburannya dilaburkan di Malaysia, hanya 24.4 peratus dilaburkan di pasaran antarabangsa. 

“Daripada jumlah keseluruhan aset pelaburan, pelaburan awam membentuk 87.7 peratus atau RM149 bilion, manakala bakinya 12.3 peratus atau RM20.8 bilion adalah dalam pasaran swasta,” katanya sewaktu membentangkan prestasi kewangan KWAP tahun lalu di ibu pejabatnya di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, ketika reformasi pencen telah banyak dibincangkan walaupun pada peringkat permulaan pelaksanaan, ia membentangkan dinamik baharu dalam konteks negara dan ekosistem pencen. 

“Kami di KWAP akan memainkan peranan dalam memastikan sistem pencen kami teguh dan responsif kepada perkembangan keperluan pesara kita. 

“Sejajar dengan prinsip panduan kami yang terkandung dalam slogan ‘Sahabat Persaraan Anda’, kami akan kekal teguh dalam komitmen untuk memupuk perjalanan persaraan yang bermakna buat pesara,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI