SEBERANG PERAI – Seorang anggota polis berpangkat Koperal mengaku bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,500, tiga tahun lalu.
Nor Mohamad Hafizi Hafis Md Arifin,33, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan daripada seorang lelaki iaitu wang tunai sebanyak RM1,500.
Suapan tersebut didakwa diterimanya supaya tertuduh tidak mengambil tindakan ke atas seorang individu yang dikatakan melakukan kesalahan di bawah Akta Racun (1952) iaitu memiliki dua bungkus air ketum.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya kira-kira pukul 1 pagi di Balai Polis Dato’ Keramat dalam Daerah Timur Laut, pada 6 Julai 2021 dan pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta yang sama.
Tertuduh yang juga seorang duda dalam rayuannya memohon hukuman diringankan atas alasan dia perlu menjaga ibu yang menghidap penyakit kanser tahap empat manakala bapanya juga tidak sihat akibat menderita penyakit usus.
Tertuduh juga mengakui ia adalah kesalahan pertama yang dibuat sepanjang berkhidmat dan insaf atas perbuatannya itu.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM10,000 selain memerintahkan tertuduh menjalani hukuman empat bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan. – KOSMO! ONLINE