NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 123 orang terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi dipercayai masih terperangkap selepas hujan lebat mencetuskan tanah runtuh di negeri Kerala, selatan India, lapor Perbadanan Penyiaran British semalam.
Tanah runtuh itu melanda kawasan berbukit di daerah Wayanad pada awal pagi semalam ketika kebanyakan penduduk sedang tidur.
Operasi menyelamat sedang dijalankan tetapi terhalang akibat hujan lebat dan jambatan penting yang runtuh.
Pihak berkuasa bimbang jumlah mangsa akan meningkat lagi kerana kira-kira 100 orang masih terperangkap di kawasan yang belum dapat dimasuki oleh anggota-anggota perkhidmatan kecemasan.
Tanah runtuh adalah bencana terburuk yang melanda Kerala sejak 2018, apabila banjir mengorbankan lebih 400 orang.
Pegawai berkata, lebih 200 anggota tentera telah dikerahkan untuk membantu pasukan keselamatan dalam usaha mencari dan menyelamat.
Ketua Menteri Kerala, Pinari Vijayan memberitahu sidang akhbar bahawa tanah runtuh itu telah berlaku di sejumlah kawasan yang besar.
“Hospital-hospital tempatan merawat sekurang-kurangnya 123 yang cedera dan lebih 3,000 orang telah diselamatkan serta dipindahkan ke 45 kem bantuan,” katanya.
Selain 65 kematian yang disahkan di Wayanad, 16 mayat lagi ditemui di sungai Chaliyar yang mengalir ke daerah jiran, Malappuram.
Wayanad, sebuah daerah berbukit yang merupakan sebahagian daripada banjaran gunung Ghats Barat terdedah kepada tanah runtuh semasa musim tengkujuh. – AGENSI