GUA MUSANG – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan membina sebuah Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di daerah ini untuk memberi latihan dan membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program kemahiran itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda khususnya di kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
Katanya, institusi TVET itu merupakan program pertama di daerah Gua Musang dan sebanyak 252 institusi TVET di bawah KKDW terutamanya di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).
“Daripada 100 orang yang menyertai TVET, hampir kesemua daripada mereka mendapat kerja dengan segera. Sebanyak 98.7 peratus yang menyertai kursus TVET di bawah KKDW terutamanya Mara sudah ditempah oleh majikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Pembangunan, Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap di sini, hari ini.
Tambahnya, selain itu, institusi TVET juga memberi tawaran kepada peserta dalam kalangan anak peneroka Kesedar untuk dibawa melanjutkan pelajaran ke negara China secara percuma. – KOSMO! ONLINE