NEW DELHI – Seorang usahawan di Noida terkejut apabila hidangan yang dipesan dari sebuah restoran tempatan, Ola Foods dimakan oleh penghantar (rider) mereka, lapor stesen penyiaran NDTV.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @amanbjaiswal baru-baru ini, rider tersebut dilihat sedang menjamah kentang goreng yang dipesan oleh seorang lelaki bernama Jaiswal.
Klip video itu dirakam sendiri oleh Jaiswal berhampiran kediamannya.
Terdahulu, rider sama menelefon Jaiswal lalu meminta bayaran tambahan, melebihi caj penghantaran yang ditetapkan.
Bukan itu sahaja, Jaiswal juga terpaksa menunggu selama 45 minit.
“Buat apa sahaja yang kamu mahu,” kata rider itu sambil makan makanan pelanggan di atas motosikalnya ketika perbuatannya terbongkar.
Ola Foods masih belum memberikan sebarang maklum balas berhubung kejadian itu.
Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan rata-rata, netizen berang dengan sikap rider itu yang tidak jujur dan melanggar etika pekerjaan. – AGENSI