MELAKA – Dua beradik masing-masing berusia 28 dan 37 tahun diselamatkan sepasukan bomba selepas sesat ketika mendaki di Bukit Beruang, di sini hari ini.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penguasa Bomba Muhamad Talib, panggilan kecemasan diterima pada pukul 1.11 petang.
Katanya, sepasukan 10 anggota bersama-sama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 1.18 petang dan operasi menjejaki mangsa mengambil masa kira-kira satu jam sebelum menemui dua beradik tersebut yang berada dalam keadaan lesu.
“Pasukan bomba bertindak membawa mangsa keluar daripada kawasan hutan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, hasil maklumat awal, kedua-dua mangsa dikatakan sesat ketika hendak menuruni puncak bukit.
Katanya, kedua-dua mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan pasukan bantuan beredar selepas memastikan dua beradik itu berada dalam keadaan selamat. – K! ONLINE