MARANG – Seorang nenek yang memiliki 15 cucu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 125 pil kuda pada Ahad lalu.
Tertuduh, Sa’adah Ali, 63, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nur Ain Engku Muda.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memiliki 125 pil dadah jenis methamhetamine seberat kira-kira 18.43 gram.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Batangan di sini pada pukul 1 pagi, 19 Julai lalu.
Sa’adah didakwa Seksyen 12 (2) Akta Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman antara dua hingga lima tahun dan wajib tiga hingga sembilan sebatan jika sabit kesalahan.
Engku Nur Ain membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM5,000 dan seorang penjamin. Sa’adah membayar wang jaminan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa. Asisten Superintendan Othman Ibrahim manakala tertuduh tidak di wakili peguam. – K! ONLINE.