fbpx

Takungan air Empangan Muda, Bukit Merah masih kritikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Paras air Tasik Gubir yang menempatkan Empangan Muda menurun secara drastik akibat cuaca panas dan musim kemarau, ketika ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN

YAN – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengingatkan semua kerajaan negeri terutama yang berdepan isu paras empangan kritikal agar bersiap sedia dan melaksanakan langkah mitigasi bagi mengelak keadaan menjadi lebih serius.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, dua empangan yang kritikal ketika ini adalah Empangan Muda di Sik, dekat sini dan Empangan Bukit Merah di Perak, sementara enam empangan lain termasuk Empangan Pedu dan Beris di negeri ini pada paras berjaga-jaga.

“Memang kita telah memberi peringatan kepada semua negeri untuk mengambil langkah-langkah mitigasi dan buat persiapan untuk kita mengelakkan daripada perkara ini bertambah serius sebab kalau ikut jangkaan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), ada kemungkinan cuaca panas dan kering ini sehingga September.

“Jadi itu memang kita kena berwaspada atau bersiap-sedia dan di peringkat negeri Kedah, saya memang pastikanlah bila berlaku gangguan bekalan air dan sebagainya kita cuba kurangkan kesannya. Masalah yang berlaku ini memang melibatkan perubahan iklim yang agak ketara,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Projek Empangan Sabo Titi Hayun di sini hari ini.

Sementara itu, kata beliau, Empangan Muda dan Empangan Bukit Merah masih merekodkan bacaan kritikal setakat pagi ini walaupun operasi pembenihan awan (OPA) dilakukan bermula semalam.

“OPA masih berbaki dua hari sehingga esok sebelum dapat melihat kesan daripada proses itu yang diharapkan boleh menghasilkan hujan di kawasan empangan. Kesan berjaya itu maksudnya kita kena tengok daripada keseluruhan empangan tersebut yang mana semalam baru permulaan.

“Kalau tengok empangan itu parasnya masih tidak berubah berbanding bacaan semalam yang masih pada paras sama tetapi insya-Allah itu ikhtiar kita,” ujarnya.

Semalam, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaksanakan OPA di sekitar Empangan Muda dan Bukit Merah bagi meningkatkan kapasiti air yang terjejas ekoran cuaca panas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI