PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) akan membuka 30 pertuduhan terhadap syarikat Brightway Holdings Sdn. Bhd dan dua anak syarikatnya.
KSM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya kini sedang dalam proses melengkapkan kertas siasatan tersebut di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] dan Peraturan.
“Sebanyak 22 pertuduhan akan dibuka terhadap syarikat Brightway Holdings Sdn. Bhd dan anak syarikatnya, Biopro (M) Sdn. Bhd.
“Sementara itu, lapan pertuduhan dibuka bagi sebuah lagi anak syarikatnya, La Glove (M) Sdn. Bhd.,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pertuduhan itu susulan operasi penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] terhadap Biopro (M) Sdn. Bhd. dan La Glove (M) Sdn. Bhd. pada 24 dan 21 Disember lalu.
KSM berkata, antara kesalahan tersebut adalah kegagalan majikan mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Ketua Pengarah JTKSM di bawah Seksyen 24D Akta 446 dan juga pelanggaran Peraturan-Peraturan di bawah Akta 446.
Menurutnya, ia melibatkan penyediaan kemudahan yang tidak memenuhi spesifikasi standard minimum yang ditetapkan iaitu Jadual Subperaturan 3 (1)(2)(i) Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.
Dalam pada itu, KSM menafikan, laporan berhubung kompaun RM1,000 adalah kompaun kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Klang.
“Tindakan tersebut tiada kaitan dengan penguatkuasaan Akta 446 di bawah bidang kuasa JTKSM,” katanya. – K! ONLINE