fbpx

Laut China Selatan: Malaysia tidak hadapi ancaman membimbangkan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika gimik merasmikan Bulan Keselamatan Negara 2024 di PICC, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Malaysia tidak menghadapi sebarang ancaman membimbangkan setakat ini, susulan pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biarpun isu berkenaan sudah lama berlarutan, namun hubungan dengan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, negara-negara barat dan China adalah baik.

Katanya, Malaysia tidak akan terikut dengan kerangka diplomasi asing, namun ia ditentukan menerusi kepentingan dan strategi negara ini sendiri.

“Dalam pengalaman kita, setakat ini kita tidak hadapi ancaman yang dianggap membimbangkan. Hubungan kita sangat baik walaupun media barat itu menekankan seolah-olah ada cetusan dan pelanggaran beberapa peraturan oleh China.

“Tapi hubungan kita dengan China menunjukkan bahawa semua permasalahan boleh diselesaikan di meja rundingan secara teratur dan sopan,” katanya ketika berucap merasmikan Bulan Keselamatan Negara 2024, di sini hari ini.

Afiliasi wilayah beberapa pulau dan terumbu di Laut China Selatan menjadi subjek pertikaian antara China, Filipina dan beberapa negara Asia Pasifik lain selama beberapa dekad.

Rizab minyak dan gas yang signifikan telah ditemukan di pelantar benua pulau berkenaan, termasuk Kepulauan Paracel, Pulau Thitu, Terumbu Scarborough dan Kepulauan Spratly, dengan Terumbu Whitson menjadi sebahagian daripadanya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Perdana Menteri memberi jaminan tahap keselamatan nelayan di perairan Laut China Selatan sentiasa terjamin ekoran dakwaan kehadiran kapal Pengawal Pantai China (CCG) berhampiran perairan negara.

Anwar berkata, para nelayan yang menggunakan perairan berkenaan tidak perlu khuatir dengan kehadiran kapal berkenaan di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali, Sarawak.

“Jangan takut…jangan takut,” katanya ringkas.

Terdahulu sebuah portal media melaporkan, kehadiran CCG menyukarkan nelayan dan pemancing di Miri, Sarawak untuk turun ke laut kerana khuatir diganggu CCG.

Kerajaan sebelum ini menegaskan Beting Patinggi Ali adalah milik Malaysia dan tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak lain memandangkan ia di dalam kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI