PUTRAJAYA – Perdana Menteri menegaskan, kerajaan akan terus mempertahankan kedaulatan Sabah serta tidak akan bertolak ansur berhubung tuntutan Filipina terhadap negeri berkenaan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Malaysia juga tidak akan terlibat sebarang rundingan yang mempertikai hak Sabah.
Jelasnya, Sabah telah diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.
“Kerajaan Malaysia buat kenyataan tegas, tidak akan bertolak ansur walau satu inci tanah rakyat dan tidak mungkin kita terlibat dalam apa-apa perundingan melibatkan hak dan kedaulatan negara,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Bulan Keselamatan Negara 2024, di sini hari ini.
Pada 5 Julai lepas, Malaysia telah menyerahkan nota diplomatik kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bagi menyatakan bantahan, sekali gus menolak tuntutan Filipina ke atas Sabah.
Berhubung hubungan diplomatik yang sangat baik dan akrab di antara Malaysia dan Filipina Anwar berkata, ia perlu dimanfaatkan demi keselamatan.
“Hubungan peribadi saya dengan Presiden (Filipina) Ferdinand Marcos Jr di tahap sangat rapat dan akrab. Oleh itu, jalur ini harus kita manfaatkan untuk keselamatan.
“Tapi dalam konteks ini, pasukan kita harus mengerti bahawa sejarah membuktikan bahawa pelakuan dan serangan seperti di Sabah beberapa tahun lalu berlaku dalam keadaan tidak diduga,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE