fbpx

Hawa Rizwana paksa muntah elak gemuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAWA Rizwana pernah berdepan masalah bulimia atau gangguan pemakanan kronik ketika zaman persekolahan.

PETALING JAYA – Sensitif dengan isu berat badan, pengacara Hawa Rizwana pernah berdepan masalah bulimia atau gangguan pemakanan kronik ketika zaman persekolahan.

Hawa atau nama sebenarnya Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 28 berkata dia hanya berhenti melakukan perbuatan tersebut selepas menyedari tindakan dilakukan selama bertahun-tahun boleh memudaratkan kesihatan.

Saya pernah menghidapi bulimia. Keadaan ini bermula masa sekolah menengah. Bila ada orang cakap saya naik berat badan, saya makan banyak-banyak dan muntahkan. Saya juga terlebih bersenam.

“Pernah nak cuba berhenti tapi saya naik berat badan lima kilogram sebab sibuk dan tak sempat nak bersenam, tidur tak cukup, stres dan makan waktu malam.

“Saya belajar perkataan bulimia semasa menyertai ‘choral speaking’. Ada budak lelaki yang suka tegur cakap muka saya berisi dan buat saya mempersoalkan adakah saya gemuk,” katanya dalam satu wawancara.

Menurut hos program MeleTOP itu, kadangkala dia merasakan seseorang sekadar menyindirnya apabila memujinya kurus.

Ketika ramai cakap saya naik berat badan, ada individu lain cakap ‘eh Hawa kurusnya sekarang?’. Saya tak rasa orang itu maksudkan saya kurus,” katanya.

Begitu pun, seiring kematangan Hawa berusaha mendapatkan bantuan bagi memulihkan keadaan kesihatan mentalnya terutama berkaitan bulimia.

Bekas pembaca berita kelahiran Amerika Syarikat itu turut bersyukur mempunyai sistem sokongan yang padu sekali gus menguatkan semangatnya untuk kekal positif.

Sekarang saya dah ada ‘support system’ daripada orang sekeliling yang membuatkan mental saya kuat dan saya berhenti melakukan tindakan memudaratkan,” ujarnya.

Menerusi perkongsian tersebut, Hawa berharap orang ramai mengambil pengajaran agar mendapatkan bantuan segera andai berdepan masalah sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI