PASIR MAS – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjangkakan aktiviti sukan di negara ini akan kembali rancak pada 2021 berbanding tahun ini meskipun berdepan dengan penularan wabak Covid-19.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihak kementerian berkemungkinan akan melonggarkan sedikit prosedur operasi standard (SOP) untuk sesetengah aktiviti sukan, namun masih berhati-hati dengan penularan wabak itu.
Katanya, KBS juga sedang dalam proses mengadaptasi segala keadaan di negara ini sebelum menganjurkan acara-acara sukan.
“Disebabkan itu, kita telah memperkenalkan model gelembung sukan dan tidak membuka ruang untuk penonton bagi sesetengah sukan.
“KBS juga mahu melihat rakyat di negara ini mengadaptasi kelaziman baharu dalam dunia sukan ketika penularan wabak Covid-19. Kita tidak boleh mengambil enteng perkara ini, namun saya jangkakan aktiviti sukan akan kembali rancak pada tahun depan berbanding tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sukarelawan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Kelantan di Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong di sini hari ini.
Mengulas lanjut, model gelembung sukan yang diperkenalkan oleh KBS awal bulan ini akan dijalankan pada awal Januari depan dengan penganjuran acara percubaan sukan permotoran di Litar Antarabangsa Sepang.
Katanya, pasukan MotoGP dari luar negara akan datang ke negara ini untuk melakukan percubaan di litar tersebut.
“Pergerakan mereka dihadkan menerusi model gelembung sukan ini. Mereka tidak boleh keluar dari kawasan itu sepanjang tempoh percubaan selain jumlah kehadiran penonton juga terhad.
“Penganjuran percubaan MotoGP itu merupakan satu eksperimen sebelum ia dijalankan terhadap acara sukan lain,” katanya.
Ditanya mengenai penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan 2026, Wan Ahmad Fayhsal berkata, perkara itu termasuk aspek bajet dan penganjuran acara itu akan menjadi agenda yang akan dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) hujung Januari depan.
Tambahnya, perbincangan mengenai kos keseluruhan penganjuran Sukma 2026 masih dalam perbincangan dan KBS komited untuk membantu Kelantan terutamanya dalam aspek pembinaan infrastruktur yang baharu di negeri ini. – K! ONLINE