WASHINGTON – Kempen politik Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris berjaya mengumpulkan derma sebanyak AS$200 juta (RM926.53 juta), lapor portal berita VOA semalam.
Wanita itu muncul sebagai calon Presiden AS daripada Parti Demokrat bagi menggantikan Presiden Joe Biden yang menarik diri.
Derma yang tinggi itu menjadi bukti daya tarikan Harris dalam perlumbaan beliau menentang calon Parti Republikan, bekas Presiden AS, Donald Trump.
Menurut pihak pengurusan kempen wanita berkenaan, sebahagian besar derma itu atau 66 peratus merupakan penyumbang kali pertama.
Perkembangan itu berlaku selepas Biden mengumumkan keluar daripada perlumbaan untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden AS pada November ini dan menyuarakan sokongan beliau kepada Harris.
Lebih 170,000 sukarelawan juga telah mendaftarkan diri untuk membantu kempen Harris ketika pilihan raya tersebut tinggal 100 hari lagi untuk diadakan. – AGENSI