BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terus mempamerkan sinar pada Sukan Olimpik Paris 2024 apabila melangkah ke pentas suku akhir sebagai juara Kumpulan D dengan mencatat kemenangan bersih dalam tiga perlawanan.
Pasangan negara itu berjaya apabila menumbangkan pasangan ranking No. 2 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China 17-21, 21-15, 21-16 dalam perlawanan yang mengambil masa 1 jam 10 minit sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena tersebut, Tang Jie-Ee Wei yang turun selaku gandingan No. 9 dunia bermain dengan cukup baik pada awal permainan, namun tumpas di set pertama 17-21 dalam tempoh 22 minit.
Pada set kedua, Tang Jie-Ee Wei memperkemaskan taktikal perlawanan dan strategi lebih agresif membantu mereka mencuri mata demi mata untuk mengheret perlawanan itu ke rubber set dengan kemenangan 21-13.
Kebangkitan pada set kedua itu nyata menyuntik semangat luar biasa buat pasangan beregu campuran No. 1 negara apabila mempamerkan aksi meyakinan untuk meraih kemenangan 21-16 sekali gus memenangi pertembungan tersebut. – KOSMO! ONLINE