PUTRAJAYA – Sebanyak 1,091,867 pertubuhan beroperasi direkodkan pada Bancian Ekonomi 2023 bagi tahun rujukan 2022 dengan kadar pertumbuhan tahunan 2.5 peratus berbanding bancian dijalankan pada 2016 iaitu 920,630 pertubuhan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sejumlah 951,862 pertubuhan atau 87.2 peratus tertumpu dalam sektor perkhidmatan diikuti sektor pembinaan (71,062 pertubuhan, 6.5 peratus) dan sektor Pembuatan (54,505 pertubuhan, 5.0 peratus).
Katanya, bagi sektor pertanian, perlombongan dan pengkuarian masing-masing dengan 12,998 pertubuhan dengan sumbangan 1.2 peratus dan 1,440 pertubuhan (0.1 peratus).
“Nilai output kasar bagi keseluruhan sektor ekonomi berjumlah RM3.85 trilion pada 2022, meningkat 6.4 peratus setiap tahun.
Peningkatan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh pertumbuhan yang kukuh bagi sektor pembuatan dengan 7.5 peratus, mencatatkan RM1,893.7 bilion berbanding RM1,142.0 bilion pada tahun 2015 dan didorong oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
“Ini diikuti dengan sektor perkhidmatan, yang meningkat 5.7 peratus kepada RM1,426.6 bilion dan sektor perlombongan dan pengkuarian (RM204.1 bilion, 6.5 peratus),” katanya ketika berucap Majlis Peluncuran Penemuan Banci Ekonomi 2023 (TR 2022) di sini, hari ini.
Seiring dengan peningkatan output kasar, beliau berkata input perantaraan bagi keseluruhan sektor ekonomi meningkat sebanyak 6.5 peratus secara tahunan (2015 iaitu 7.1 peratus) kepada RM2,349.2 bilion berbanding RM1,507.6 bilion pada 2015.
“Begitu juga, nilai ditambah meningkat 6.2 peratus kepada RM1,502.6 bilion pada 2022 (2015 iaitu RM986.3 bilion bersamaan 8.2 peratus).
“Jumlah bilangan pekerja untuk keseluruhan sektor juga mencatatkan peningkatan 1.8 peratus dengan 10.0 juta orang pekerja pada 2022 (2015 iaitu 8.9 juta orang bersamaan 5.0 peratus),” ujarnya.
Pada masa sama beliau berkata, jumlah gaji dan upah dibayar meningkat sebanyak 5.4 peratus setiap tahun, berjumlah RM354.9 bilion pada 2022 berbanding pada tahun 2015 iaitu RM245.8 bilion atau 9.8 peratus.
Mohd. Uzir berkata, terdapat 219,015 pertubuhan milikan wanita merentasi semua sektor pada 2022, mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 2.3 peratus daripada 2015.
“Pertubuhan ini melibatkan 979,812 orang dengan gaji dan upah direkodkan pada RM20.5 bilion. Di samping itu, pertubuhan tersebut menjana output kasar RM136.9 bilion dan menghasilkan nilai ditambah berjumlah RM61.4 bilion,” katanya.
Jelas Mohd. Uzir, tiga negeri yang menyumbang paling banyak kepada nilai tambah negara pada 2022 adalah Selangor iaitu dengan sumbangan 27.8 peratus, Kuala Lumpur (19.9 peratus) dan Sarawak (11.0 peratus).
“Dari segi kadar pertumbuhan tahunan, enam negeri mencatatkan kenaikan yang melebihi dari paras nasional iaitu Negeri Sembilan (9.8 peratus), Sabah (8.1 peratus), Selangor (7.8 peratus), Sarawak (7.3 peratus), Pulau Pinang (6.8 peratus) dan Johor (6.2 peratus),” katanya. – KOSMO! ONLINE