TRIO memanah recurve wanita negara mahu melupakan segera kekalahan mereka dalam acara berpasukan di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas tewas di peringkat penyingkiran 1/8 di Les Invalides kelmarin.
Pemanah negara dibarisi Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh gagal menampilkan aksi terbaik apabila tewas 3-5 kepada Indonesia yang diwakili Diananda Choirunisa, Syifa Nurafifah Kamal serta Rezza Octavia.
Pemanah muda negara, Ariana mahu mengambil kekalahan itu sebagai pembakar semangat untuk menebus kekecewaan itu dalam acara individu selepas mengakui terdapat peningkatan berbanding persembahannya pada Khamis lalu.
“Saya tetap berpuas hati walaupun kalah. Saya tahu kami boleh lakukan dengan lebih baik, malah kami pernah buat lagi baik, namun ini kali pertama kami beraksi secara berpasukan di Sukan Olimpik.
“Saya fikir daripada kekalahan ini kami ambil pengajaran terhadap apa penambahbaikkan yang perlu dibuat supaya kami boleh beraksi lebih baik selepas ini,” katanya.
Indonesia menjadi pilihan pada aksi tersebut kerana dua pemanahnya menghuni ranking bawah 100 terbaik dunia iaitu Diananda (38) dan Rezza (70) berbanding skuad negara hanya Ariana di tempat ke-42.
Trio memanah negara masih berpeluang untuk menebus kekecewaan di atas kekalahan itu apabila ketiga-tiga mereka bakal turun beraksi dalam acara individu dijadual berlangsung esok.
Ariana dan Azreena akan berdepan cabaran sengit daripada pemanah Itali, Chiara Rebagliati dan kedudukan kelima, Elif Berra Gokkir dari Turkiye.
Seorang lagi pemanah negara, Syaqiera yang turun kali kedua di pentas Olimpik selepas debut pada edisi Tokyo 2020 akan menentang Alexandra Mirca dari Moldova pada Selasa ini.