fbpx

Kadar tukaran wang asing punca Tourism Malaysia tidak sertai WTM 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tourism Malaysia membuat keputusan tidak menyertai World Travel Market (WTM) di London pada hujung tahun ini berikutan kadar tukaran wang asing semasa.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, penyertaan di WTM London akan melibatkan perbelanjaan besar dengan penurunan kadar tukaran wang semasa.

“Pada tahun 2024, Tourism Malaysia akan mengambil pendekatan yang lebih kos efektif dengan mengadakan misi jualan bersepadu ke beberapa negara di Eropah.

“Seperti United Kingdom, France dan The Netherlands bagi mempromosikan Kempen Melawat Malaysia 2026,” kata MOTAC menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Negara hari ini.

MOTAC menjawab soalan dibangkitkan Ahli Dewan Negara, Datuk Hisamudin Yahaya mengenai faktor Malaysia tidak mengambil bahagian dalam WTM yang diadakan di London pada hujung tahun ini memandangkan ia platform baik untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurut MOTAC, misi jualan itu akan disertai pengusaha pelancongan dari Malaysia dan sesi “business matching” serta “networking” bersama agensipelancongan utama di negara-negara tersebut akan dijalankan.

Kata MOTAC, aktiviti promosi makanan dan kebudayaan Malaysia kepada orang awam akan turut diadakan melalui misi tersebut.

Jelas MOTAC, fokus pasaran juga akan digiatkan kepada negara-negara yang mempunyai lebih rangkaian kemudahsampaian berbanding pasaran-pasaran jarak jauh, tetapi tidak bermaksud aktiviti di pasaran tersebut dihentikan sama sekali.

Terdahulu, MOTAC memaklumkan, Tourism Malaysia telah menyertai WTM di London lebih 40 tahun berturut-turut, namun kos untuk menyertai pameran pelancongan itu meningkat saban tahun.

“Penyertaan Tourism Malaysia di WTM adalah salah satu aktiviti promosi yang dijalankan saban tahun dan ini merupakan platform yang disediakan oleh Tourism Malaysia kepada penggiat-penggiat industri bagi pasaran jarak jauh,” kata MOTAC. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI