fbpx

Kes Bung Moktar, Zizie tangguh, peguam ada masalah jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bung Moktar dan Zizie Izatte ketika keluar dari Mahkamah Rayuan hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 9 Oktober bagi pendengaran rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan tarikh baharu itu selepas peguam Datuk Seri K.Kumaraendran memaklumkan seorang lagi peguam utama dalam kes ini iaitu M. Athimulan tidak sihat kerana mengalami masalah jantung.

“Hari ini ditetapkan untuk pendengaran rayuan, bagaimanapun peguam Athimulan berada dalam keadaan tidak sihat sejak 10 Julai lalu.

“Sebelum ini, beliau telah pergi ke India dan telah mendapat mendapat rawatan di sebuah hospital di Tamil Nadu. Apabila pulang ke Malaysia pada minggu lalu, beliau dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital Singapura kerana hospital itu mempunyai rekod kesihatannya,” kata peguam tersebut.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How tidak membantah sekiranya mahkamah menetapkan tarikh lain bagi pendengaran kes namun pihak pendakwaan tetap bersedia jika mahkamah ingin meneruskan pendengaran hari ini.

“Hari ini ditetapkan untuk pendengaran rayuan (pendakwaan) dan pihak kami telah memfailkan segala hujahan berkaitan kes,” katanya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Hashim Hamzah dan Mohamed Zaini Mazlan.

Pada 7 September tahun lalu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya dibebaskan setelah Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan mereka terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan pasangan tersebut membela diri.

Pihak Pendakwaan kemudian memfailkan rayuan pada 18 September tahun yang sama.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette, 46, di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Pertuduhan ketiga Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.

Dalam pada itu Zizie Izette turut didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Sebelum ini, pihak pendakwaan menyenaraikan tujuh alasan dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan pasangan suami isteri itu selaku responden.

Pendakwaan berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam menjalankan bidang kuasa semakan apabila membebaskan pasangan terbabit, selepas Mahkamah Sesyen memberi penilaian maksimum terhadap keterangan ketika kes pendakwaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI