JOHOR BAHRU – Sekolah rintis Johor atau ‘pilot schools’ yang bakal diperkenalkan pada tahun depan, dijangka dapat memperlihatkan keberkesanan atau hasilnya dalam tempoh seawal dua tahun.
Bagi menjayakan hasrat itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, guru-guru yang terlibat akan dipersiapkan dengan kurikulum dan ilmu yang diperlukan sebelum program bermula pada Februari 2025.
Katanya, pihaknya telah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail ketika mengadap Baginda bagi membentangkan cadangan gerak kerja yang akan dilaksanakan.
“Semalam, saya bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Exco Pendidikan mengadap Pemangku Sultan Johor bagi membayangkan cadangan gerak kerja yang akan dijalankan dan telah mendapat perkenan Baginda.
“Ia sedang diperhalusi oleh pihak Kementerian Pendidikan (KPM). Kita juga sudah mula program latihan buat guru yang terlibat dalam program rintis ini supaya dapat menguasai kurikulum dan ilmu yang diperlukan untuk mendidik pelajar,” katanya kepada pemberita.
Kelmarin, Onn Hafiz dilaporkan berkata Sekolah rintis Johor merupakan langkah permulaan mencorakkan masa depan pendidikan bangsa Johor yang lebih maju dan berdaya saing.
Onn hafiz turut dilaporkan berkata tumpuan khusus akan diberikan terhadap penguasaan Sains, Teknologi, Engineering, Matematik (STEM) dan Bahasa Inggeris. – KOSMO! ONLINE