PETALING JAYA – Selepas dua bulan bersaing, penyanyi Aina Abdul diumumkan sebagai juara Vokal Mania musim pertama pada konsert akhir sebentar tadi.
Menerusi kemenangan tersebut, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 27, yang bertanding bagi kategori Idol itu turut membawa pulang wang tunai bernilai RM50,000 berserta trofi.
Kemenangan tersebut sekali gus mengalahkan Tomok, Indah Ruhaila dan Lan Solo yang turut bertanding sebagai Idol.
Aina mendedangkan lagu Shadow untuk persembahan solo manakala lagu Flashlight dendangan asal Jessie J pula bagi pusingan battle bersama Rookie iaitu Danial Chuer pula.
Sementara itu, Aisha Retno pula diumumkan sebagai juara bagi kategori Rookie sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 termasuk peluang merakamkan satu lagu berserta penghasilan sebuah video muzik.
Pada konsert final sebentar tadi, Aisha atau nama penuhnya, Sharifah Aisha Retno, 20, menyanyikan lagu Lelaki Teragung dendangan asal Dayang Nurfaizah bagi persembahan solo dan Asmaradana (Tiara Jacquelina) battle bersama Lan.
Aisha turut mengalahkan tiga lagi penyanyi amatur lain iaitu Danial, Eranzz Lambert dan Alif Kadim yang turut memberikan saingan sengit pada konsert akhir malam ini.
Dalam pada itu, konsert akhir Vokal Mania kekal menyaksikan Misha Omar dan Yusry Abdul Halim sebagai juri tetap dan Adibah Noor pula sebagai juri jemputan.
Vokal Mania dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan Azira Shafinaz. – K! ONLINE