fbpx

Banci Pertanian 2024 capai 20 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Uzir menunjukkan sebahagian produk keluaran syarikat Aquaculture Resources Centre di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh semalam.

SUNGAI BULOH – Jabatan Pe­rangkaan Malaysia (DOSM) telah mencapai tahap 20 peratus bagi pelaksanaan Banci Pertanian 2024 yang dilakukan di seluruh negara, sejak ia dimulakan pada 7 Julai lalu.

Peratusan tersebut meliputi 251,371 orang yang telah dibanci di seluruh negara terdiri daripada empat subsektor iaitu tanaman, ternakan, perikanan & akuakultur serta perhutanan & pembalakan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, dari segi pecahan mengikut ne­geri Selangor, ia telah sampai ke tahap 25 peratus dengan melibatkan 17,000 orang, Kedah (25.2 peratus/20,881) dan Johor (23 peratus/45,000).

“Selain itu, Kelantan (15.8 peratus/13,875), Melaka (13.9 peratus/2,602), Negeri Sembilan (22 peratus/8,487), Pahang (22.6 peratus/19,337), Pulau Pinang (28 peratus/5,433) dan Perak (18.5 peratus/12,968).

“Perlis mencatatkan (21 peratus/3,008), Terengganu (25.6 peratus/23,696), Sabah (17.8 peratus/45,303), Sarawak (19.6 peratus/31,417) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan (20.7 peratus/1,468),” katanya selepas me­lawat ARC Berkat Agro Food Sdn. Bhd. di Kampung Kubu Gajah di sini semalam.

Ditanya cabaran pelaksanaan bancian itu, beliau berkata, antara nya adalah sesetengah petani tidak menyimpan maklumat yang diperlukan.

“Ada juga petani yang tiada di lapangan, hanya pekerja sahaja yang ada. Mungkin mereka di bandar serta mempunyai pekerjaan tetap lain sebagai pegawai kerajaan atau kakitangan swasta.

“Cabaran lain dari segi kefahaman tentang kenapa maklumat lengkap diperlukan. Dalam statistik, ramai menganggap data yang diberikan tidak penting, tapi dari konteks merancang negara, ia diperlukan untuk buat keputusan,” katanya.

Mohd. Uzir menjelaskan, bagaimanapun DOSM mendapat kerjasama yang baik terutama daripada agensi kerajaan negeri dan peringkat daerah dalam me­laksanakan bancian tersebut.

“Komitmen kerjasama itu hampir 100 peratus sekali gus menjadi satu indikator awal bahawa kejayaan untuk sampai ke tarikh tutup 10 Oktober ini, kita sudah ­berada ‘di sebelah kaki’.

“Jadi kita kena dapatkan data dinamik dan berte­rusan, jadi kita kena kemas kini data-data tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kali terakhir Banci Pertanian dilaksanakan adalah pada 2005 iaitu kira-kira 19 tahun lalu sekali gus pengumpulan data terkini pen­ting bagi mendapatkan maklumat dinamik dan terkini.

“Kita mahu tambah baik, mi­salnya, bagaimana penyaluran program berbentuk bantuan diberikan kepada pemilik tanah, tetapi ia tidak diusahakan.

“Perkara ini memerlukan penambahbaikan supaya dana awam itu digunakan dengan berkesan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI