PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meletakkan harapan cukup tinggi bukan terarah kepada pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020, Datuk Azizulhasni Awang sahaja tetapi juga buat Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, jika segala strategi menjadi, tidak mustahil pelumba berusia 28 tahun itu mampu menyinar di Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus menebus kekecewaan sewaktu di Tokyo 2020.
Ujar Amarjit, Shah Firdaus yang membuat penampilan kedua di Sukan Olimpik semakin matang, malah insiden kemalangan terjatuh di Tokyo 2020 gara-gara dihimpit pelumba Great Britain, Jack Carlin mampu menjadi pengajaran untuk bangkit di Paris.
“Saya percaya jika segala perancangan berjalan dengan baik dan tiada sebarang masalah, tidak mustahil dia mampu melakukan kejutan.
“Pelumba berbasikal trek telah menjalani latihan cukup baik sebelum ke Paris. Kali ini hanya memberikan terbaik terutama untuk melangkah ke pentas final terlebih dahulu.
“Sekiranya kita mempunyai dua pelumba melangkah ke final acara keirin, itu akan menjadi satu peluang keemasan buat Malaysia.
“Jika ada dua pelumba di pentas final, perkara utama adalah melakukan strategi membantu rakan sepasukan. Saya cukup yakin pelumba-pelumba negara kita tahu apa yang dilakukan mereka pada hari perlumbaan sebenar nanti,” kata Amarjit.
Shah Firdaus ketika ini menjalani kem latihan akhir di Mallorca, Sepanyol bersama Azizulhasni dan pelumba keirin wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri sebelum berlepas ke Paris pada Khamis ini.
Antara pencabar bakal memberi tentangan hebat di Paris nanti ialah Harrie Lavreysen dari Belanda, Matthew Glaetzer (Australia), Jair Tjon En Fa (Suriname), Maximilian Doernbach dan Jack Carlin (Great Britain) serta Ota Kaiya (Jepun).