LOS ANGELES – Arsenal mula menyerlahkan kualitinya apabila mempamer kebangkitan untuk menewaskan Manchester United 2-1 pada aksi persahabatan dalam kempen pramusim di Amerika Syarikat (AS) di Stadium SoFi, Los Angeles semalam.
Walaupun Rasmus Hojlund terlebih dahulu meletakkan United di awal permainan, namun dua bintang dari Brazil, Gabriel Jesus dan Gabriel Martinelli memastikan kemenangan buat The Gunners dalam aksi tersebut.
Bagaimanapun, pengendali Arsenal, Mikel Arteta memberi amaran awal buat para pemainnya supaya kekal bermotivasi untuk memperbaiki prestasi mereka sebelum memulakan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertengahan bulan depan.
“Ini adalah perlawanan ujian, tiada istilah tiga mata dan saya rasa United juga merasakan perkara yang sama. Jika kamu mahu bersiap sedia untuk berdepan tuntutan lebih sukar, kami kena terus berusaha jadi lebih baik.
“Kami sudah ada asas, namun pada perlawanan ini terdapat beberapa perkara berbeza yang kami perlu baiki. Pada perlawanan ini kita dapat lihat kemahuan untuk menang sudah pun ada dalam pasukan.
“Jadi dengan tempoh beberapa minggu saja lagi sebelum musim baharu bermula, sekarang kami perlu memaksimumkan semua perkara,” kata Arteta.
Pada perlawanan kali ini, Arteta menyenaraikan beberapa pemain berpengalaman seperti Leandro Trossard, Martin Odegaard dan Gabriel Jesus selain turut memberi peluang buat bintang muda Ethan Nwaneri serta Ayden Heaven.
Naib juara EPL dua musim berturut-turut itu akan bermain satu lagi aksi persahabatan di AS menentang Liverpool, Khamis ini sebelum menanti kunjungan Wolverhampton Wanderers untuk perlawanan pertama EPL di Stadium Emirates pada 17 Ogos ini. – AGENSI