ALOR SETAR – Kira-kira 1,698 penumpang feri bagi laluan Kuala Kedah-Pulau Langkawi-Kuala Kedah terkandas apabila Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. terpaksa membatalkan perjalanan feri berikutan cuaca buruk petang tadi.
Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid memberitahu, perjalanan yang dibatalkan adalah bagi feri pukul 2.30 petang dari Langkawi ke Kuala Kedah; 4.30 petang dari Kuala Kedah, 4.30 petang (Langkawi) dan 6 petang (Langkawi).
Katanya, laut bergelora dengan ketinggian ombak lebih kurang empat meter serta kelajuan angin antara 16 hingga 18 knots boleh membahayakan aktiviti pelayaran feri dan bot-bot kecil.
“Kita menyediakan trip tambahan untuk pilihan kepada penumpang-penumpang yang ingin menaiki feri bagi laluan Pulau Langkawi (PL) – Kuala Perlis (KP) pada pukul 6 petang tadi dari PL dan 8 malam dari KP. Selain itu, penumpang yang terlibat juga boleh menukar tarikh dan masa perjalanan pada esok,” ujarnya.
Tambahnya, bagi penumpang yang terkandas di Kuala Kedah, mereka boleh membuat penukaran jadual perjalanan pada esok atau mendapatkan wang mereka kembali kerana perjalanan dibatalkan ekoran cuaca buruk itu. – KOSMO! ONLINE