fbpx

Olimpik Paris: Misi pemburuan emas negara bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONTINJEN negara yang diwakili para atlet dan pegawai menyertai perarakan di sepanjang Sungai Seine pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris awal pagi semalam. - OCM

PERJUANGAN 26 atlet negara untuk menjelmakan pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024 kini bermula apabila tirai temasya sukan terbesar dunia itu dibuka secara rasmi dalam upacara penuh gilang-gemilang awal pagi semalam

Acara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 berlangsung dengan penuh berbeza apabila julung kalinya dilakukan di luar stadium selepas Perancis memberikan kelainan dengan menyambut 205 delegasi dengan menaiki bot menelusuri Sungai Seine sambil disaksikan kira-kira 300,000 ribu penonton yang berada di pentas, tebing sungai mahupun di jambatan.

Pada edisi di Tokyo 2020, atlet diseluruh dunia berdepan kekangan, malah lebih tekanan apabila perlu menjalani peraturan keselamatan yang ketat akibat pandemik Covid-19 dan diadakan penuh dengan sederhana.

Acara pembukaan untuk edisi kali ini di Paris menyaksikan sebanyak 85 bot membawa kira-kira 6,800 atlet berlayar menyusuri Sungai Seine.

Kontinjen Malaysia turut menyertai perarakan itu apabila enam atlet negara dan empat pegawai menggayakan busana ‘The Malaya’ berwarna hijau dengan motif keemasan hasil rekaan pereka fesyen terkemuka tempatan Rizman Ruzaini.

Penerjun muda negara, Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif diberi tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang sewaktu belayar di dalam bot.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memohon rakyat Malaysia terus menitipkan doa dan sokongan kepada atlet negara yang berjuang di temasya terbesar dunia itu.

“Tolong doakan atlet negara yang menjalani latihan bersungguh-sungguh untuk menghadapi Sukan Olimpik Paris. Semoga tuhan memberikan mereka kejayaan. Pertarungan memburu emas bermula sekarang,” kata Hannah.

Dalam majlis pembukaan tersebut, selain Bertrand dan Nur Shazrin, turut berada di atas bot berkenaan adalah Nur Dhabitah Sabri (terjun), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Ashley Lau (golf) dan perenang Tan Rouxin.

Delegasi Malaysia turut disertai oleh ketua kontinjen, Datuk Hamidin Mohd Amin, timbalannya Datuk Nicol David, ketua perubatan kontinjen Dr. Jasmiza Khuzairi Jasme dan Ang Li Pei (pegawai keselamatan Majlis Olimpik Malaysia).

Atlet Malaysia yang turut bersaing di Sukan Paris adalah pemanah Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Mohd Fazil; pemain badminton Lee Zii Jia, Goh Jin Wei, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M. Thinaah, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei; penerjun Nur Dhabitah Sabri; perenang Khiew Hoe Yan;

Pelumba berbasikal lebuh raya Nur Aisyah Mohamad Zubir, atlet basikal trek Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri; pemain golf Gavin Green dan Ashley Lau; penembak Johnathan Wong Guanjie; angkat berat Muhammad Aniq Kasdan; dan pelari pecut Muhammad Azeem Fahmi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI