PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Allahyarham Tan Sri Siti Zaharah Sulaiman sebagai pemimpin yang cekap, komited dan gigih dalam perjuangan.
Perdana Menteri turut mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Ketua Wanita UMNO Malaysia itu yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.23 malam tadi.
“Almarhumah merupakan sahabat dekat saya sewaktu bersama dalam UMNO tatkala mengemudi sayap Wanita UMNO dan merupakan pemimpin yang cekap, komited dan gigih dalam perjuangan.
“Saya turut berduka dan mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan selain diampunkan segala dosa almarhumah serta diberi tempat terbaik di sisi-Nya,” kata Perdana Menteri.
Allahyarham yang juga bekas Ahli Parlimen Paya Besar meninggal dunia pada usia 75 tahun di Hospital Serdang semalam dan jenazahnya selamat dikebumikan tengah hari tadi. – KOSMO! ONLINE