MANILA – Petinju terkemuka kelahiran Filipina, Manny Pacquiao memberi bayangan untuk kembali ke gelanggang tinju pada tahun depan dengan mengarahkan ejen dan penganjur mengatur dua pertarungan untuknya.
Kata Pacquiao, tugasnya selaku ahli politik merangkap senator di Filipina agak mengganggu jadual yang dirancang pada awal tahun depan dan hanya mempunyai masa untuk fokus pada arena tinju bermula April nanti.
“Jadual saya agak padat pada awal tahun kerana persidangan masih lagi berlangsung sehingga Mac depan. Justeru, agak sukar buat saya melakukan latihan dan fokus jika ada pertarungan kompetitif.
“Namun, jika diberi peluang, saya mahu beraksi sekurang-kurangnya pada dua pertarungan mungkin satu lagi di penghujung tahun,” kata Pacquiao yang kini berusia 41 tahun.
Sebagai rekod, Pacquiao sebelum ini dilaporkan sangat berminat untuk bertarung dengan jaguh seni bela diri campuran (MMA) daripada Ultimate Fighting Championship (UFC), Conor McGregor tetapi masih belum ada sebarang pengesahan rasmi.
Sementara itu, rakan rapat Pacquiao, Choi Garcia mengakui salah satu faktor Pacquiao atau turut dikenali sebagai PacMan menangguhkan sebarang kemunculan kompetitif tahun ini adalah kerana acara sukan antarabangsa masih belum boleh dianjurkan dengan kehadiran penonton.
“Sukar untuk saya katakan bila Pacquiao akan kembali aktif di gelanggang tinju kerana berdasarkan situasi semasa dengan kekangan Covid-19 di seluruh dunia, tetapi mungkin bukan dalam masa terdekat.
“Ini kerana, selagi penyokong tidak dibenarkan hadir ke venue pertarungan, mungkin Pacquiao akan terus berehat kerana semangatnya untuk bertarung hadir apabila mendapat sorakan penonton,” katanya. – AGENSI