PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengucapkan takziah terhadap pemergian mantan Ketua Wanita UMNO Malaysia dan Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat, Allahyarham Tan Sri Siti Zaharah Sulaiman.
Ahmad Zahid melalui laman sosial Facebooknya berkata, Allahyarhamah merupakan seorang wanita yang hebat, kental dalam menghadapi segala cabaran dan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada tahun 1996 beliau sempat menyaksikan aura seorang pemimpin yang menerajui perjuangan institusi Wanita UMNO Malaysia ketika itu dengan jayanya.
“Allah sayang kau, kak. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh.
“Salam takziah juga saya ucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarhamah dan semoga seluruh ahli keluarga Allahyarhamah diberikan kekuatan dan tabah dalam menghadapi ujian ini,” tulisnya.
Terdahulu, bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu dilaporkan menghembuskan nafas terakhir beliau pada pukul 11.23 malam tadi.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Samsuddin di Facebooknya.
“Allahyarham, bekas Ketua Wanita UMNO dan bekas Ahli Parlimen Paya Besar, berusia 75 tahun. Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman baru sahaja di jemput menemui penciptanya (11:23pm). Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE.