PETALING JAYA – Pelakon Uqasha Senrose mengakui tanggungjawab sebagai seorang ibu yang digalas sejak tiga bulan lalu membuatkan dirinya terpaksa menolak ajakan rakan-rakan untuk keluar berhibur.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 32, berkata, bukan mudah untuk keluar berdua bersama bayi lebih-lebih lagi tanpa ditemani suami atau pembantu.
“Masya-Allah ‘struggle’ betul nak keluar dengan anak seorang diri.
“Disebabkan itu bila orang ajak keluar selalu fikir berjuta kali,” katanya menerusi Instagram Story.
Tidak hanya itu, pelakon filem Sumpahan Jerunei itu juga memerlukan lebih banyak masa untuk bersiap sebelum keluar rumah.
Akui isteri kepada Kamal Adli itu, persediaan lebih kepada keperluan permata hatinya, Hawra Uqaira sehingga perlu membawa dua beg hanya untuk barang si kecil.
“Ini saya kuatkan diri juga perlahan-lahan siapkan Uqaira kemudian bersiap untuk diri sendiri.
“Masuk kereta dah mengah (penat). Mana nak bawa barang anak, beg dia sahaja dah dua, tak masuk lagi beg tangan saya.
“Penat sangat tapi berjaya keluar dengan anak,” ujarnya.
Uqasha mendirikan rumah tangga dengan pelakon Kamal Adli pada 5 November 2021 dan dikurniakan Hawra Uqaira yang dilahirkan pada 27 April lalu. – KOSMO! ONLINE