PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi sensasi Aliff Aziz menitipkan ucapan khas buat rakan artis, Ruhainies sempena menyambut ulang tahun kelahiran ke-32 hari ini.
Aliff atau nama lengkapnya, Mohammad Aliff Aziz, 33, turut memuat naik gambar dia bersama Ruhainies yang dipercayai diambil ketika menjalani penggambaran drama Terjerat.
Dalam perkongsian itu, Aliff turut mendoakan semoga wanita itu meraikan sambutan hari jadi dengan penuh rasa kegembiraan.
“Selamat hari jadi dan semoga dirahmati serta dilimpahi dengan kegembiraan pada hari istimewa ini dan pada masa akan datang.
“Insya-Allah, Allah merahmati segala perkara baik yang telah awak lakukan dan memaafkan kesilapan awak dengan kita semua,” katanya di ruangan Instastory.
Pada masa sama, penyanyi lagu Sayang Sayang itu turut sertakan bersama emoji bunga ros merah bersama burung merpati putih bersebelahan dengan nama Ruhainies.
Sabtu lalu, Ruhainies atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas mengadakan majlis tahlil dan doa selamat sempena sambutan pra hari jadi bersama dengan 30 orang pelajar daripada sekolah tahfiz.
Terdahulu, nama Aliff dan Ruhainies hangat diperkatakan apabila kedua-duanya hadir seiringan ke Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bagi prosiding bacaan pertuduhan kes khalwat. – KOSMO! ONLINE