ALOR SETAR – Penggunaan jersi baharu yang baru dilancarkan semalam gagal memberi semangat tambahan kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk mereka mencatat kemenangan ke atas Kuching City FC setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Darul Aman sebentar tadi.
Perlawanan mulanya berlangsung hambar dengan kedua-dua pasukan gagal untuk melakukan percubaan tepat dalam tempoh hampir 20 minit.
Hanya pada minit ke-19, barulah gerakan merbahaya mampu direncanakan tuan rumah. Hantaran lintang Kapten Sang Kenari, Sony Norde dari sebelah kanan bagaimanapun sekadar melintas betul-betul di depan gawang apabila penyerang utama mereka, Milos Gordic gagal menyambar bola tersebut.
Seakan ‘terkejut’ dengan tindakan agresif itu, pasukan pelawat muncul dengan dua serangan merbahaya dalam tempoh cukup singkat. Pada minit ke-27, Shamie Izuan Amin melakukan percubaan namun bola tendangannya terkena badan pertahanan kiri KDA FC, Ariff Farhan ketika penjaga gol tuan rumah, Kalamullah Al-Hafiz sudah pun tertewas.
Hanya seminit selepas itu, penyerang utama Kuching City, Jordan Mintah berjaya menggelecek Kalamullah untuk mencemaskan penyokong tuan rumah. Ariff Farhan bagaimanapun sekali lagi bertindak cemerlang apabila dia berada dalam kedudukan tepat di atas garisan, untuk menghalang bola daripada menerjah ke gawang tuan rumah.
Seminit sebelum berehat, pemain tengah KDA FC, Hasbullah Abu Bakar menghadirkan ancaman buat Kuching City FC. Percubaan dari jarak jauh dilakukannya secara tiba-tiba membuatkan penjaga gol pelawat, Shahril Saari terpaksa menepis bola tersebut dengan hanya sebelah tangan dalam keadaan dia kurang bersedia.
Bersambung ke babak kedua, KDA FC terlebih dulu menguji gawang pelawat namun rembatan dilakukan Sony Norde dari luar kotak penalti pada minit ke-51, berjaya ditangkap kemas Shahril Shaari yang merebahkan badan ke kanan.
Usaha Sang Kenari untuk mendapatkan gol pertama akhirnya berhasil pada minit ke-60. Pemain tengah menyerang itu meluru pantas untuk menanduk bola hantaran lolos dari rakan sepasukan, Habib Haroon, melepasi jangkauan Shahril Shaari yang sudah pun tersilap langkah untuk menceriakan penyokong tuan rumah.
Pada masa tambahan, Kuching City memperolehi sepakan penalti setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) dilakukan pengadil, Mohamad Zamzaidi Katimin mendapati Tchetche Kipre dikasari pemain pertahanan gantian KDA FC, Irfan Zakaria.
Jordan Mintah yang dipertanggungjawabkan mengambil sepakan itu tidak mensia-siakan peluang apabila melepaskan rembatan padu ke kanan gawang tanpa dapat diselamatkan Kalamullah yang terpedaya dengan merebahkan badan ke kiri. – KOSMO! ONLINE