PARIS – Calon ketua jurulatih baharu Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino ‘berjanji’ mahu membawa masuk Lionel Messi, Memphis Depay dan Dele Alli jika gergasi Perancis itu melantik beliau mengisi kekosongan ditinggalkan Thomas Tuchel.
Pochettino, 48, percaya pelantikannya mampu ‘memancing’ Messi untuk hadir ke Parc des Princes berdasarkan sentimen kenegaraan Argentina, selain kontrak pemenang enam Ballon d’Or itu bersama Barcelona akan tamat pada Jun tahun depan.
Ia sekali gus membolehkan Messi kembali bergandingan dengan bekas rakan sepasukannya di Barcelona iaitu Neymar yang merupakan antara salah seorang pemain paling bernilai PSG selain Kylian Mbappe.
Dalam masa sama, bekas pengurus Tottenham Hotspur itu juga mahu mendapatkan penyerang utama Olympique Lyon, Memphis Depay dari Belanda yang dikatakan boleh dibeli dengan yuran perpindahan rendah sekitar €5 juta (RM27 juta) sahaja.
Selain dua pemain itu, Pochettino turut dikatakan mahu menyelamatkan karier Alli yang pernah menjadi ‘arkitek’ bahagian tengah skuad bimbingannya ketika di Spurs sebelum ini.
Alli, 24, tidak berada dalam perancangan pengurus Spurs, Jose Mourinho apabila sekadar diberikan peluang bermain lima perlawanan sahaja dalam kesebelasan utama musim ini.
Mourinho berbuat sedemikian apabila merasakan corak permainan Alli mampu mengundang bahaya kepada skuad bimbingannya, namun Pochettino pula mempunyai pendapat berbeza kerana merasakan pemain tengah England itu boleh menjadi aset utama pasukan.
Ia terbukti apabila nama Alli sentiasa berada dalam kesebelasan utama hampir kesemua perlawanan di bawah bimbingan Pochettino termasuk beraksi pada final Liga Juara-Juara ketika tewas 0-2 kepada Liverpool pada Jun tahun lalu. – AGENSI