WALAUPUN gah menerajui saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini tanpa sebarang kekalahan, namun itu bukan tiket buat Kuala Lumpur (KL) Thunder berasa selesa.
Pengurus pasukan, Zambri Abdul Rahman menegaskan, meskipun saingan musim ini hanya berbaki tiga perlawanan, namun mereka tetap berwaspada dengan ancaman pasukan-pasukan lain.
Justeru, beliau menggesa barisan pemainnya supaya memberi sepenuh fokus menjelang aksi menentang PDRM Defenders di Stadium Titiwangsa hari ini bagi mencerahkan peluang untuk merangkul kejuaraan.
“Mengenai peluang juara, saya tak tahu nak cakap kerana keputusan sebenarnya masih belum memihak kepada kita. Bagaimanapun, kita berada pada landasan terbaik ketika ini.
“Mungkin selepas aksi bertemu PDRM, barulah kita boleh cakap sama ada KL akan dinobatkan juara ataupun tidak. Buat masa ini, saya minta semua pemain agar berikan fokus 100 peratus kepada perlawanan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Sementara itu, beliau juga mendedahkan skuad warga kota itu tetap akan menurunkan skuad terbaik pada perlawanan hari ini biarpun berdepan PDRM yang menghuni tangga tercorot liga.
“Bertemu PDRM hari ini, kita tetap turunkan skuad terbaik tetapi mungkin ada sedikit perubahan kerana mahu berikan peluang kepada pemain yang belum beraksi,” tambah beliau.
Sebagai rekod, KL Thunder mengharungi musim yang cukup cemerlang kali ini apabila mencatat kemenangan dalam 15 perlawanan, sekali gus mengumpul 30 mata, diekori rapat ATM Guardians dengan 22 mata.