fbpx

Empangan Muda terus menyusut, tiada hujan lebih sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Paras Tasik Gubir yang menempatkan Empangan Muda menurun akibat cuaca panas dan kemarau ketika ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

SIK – Paras Tasik Gubir yang menempatkan Empangan Muda, di sini didapati menurun berikutan kawasan itu tidak menerima hujan sejak lebih sebulan lalu.

Tinjauan di kawasan itu mendapati berlaku penurunan paras tasik dari tebing iaitu lebih 100 meter, berbanding sebelum ini.

Selain itu, bot- bot nelayan turut dilihat terdampar di kawasan tebing sungai.

Menurut nelayan, Mohd. Yusof Syafaie, 67, dia mendapati paras air tasik di situ menurun sejak kira-kira dua bulan lalu akibat musim panas yang panjang.

“Memang biasa air tasik menyusut antara Januari hingga April, tetapi kali ini agak luar biasa apabila paras air masih tidak naik sedangkan sudah mahu masuk Ogos.

“Kawasan tengah tasik menjadi cetek dan tebing pula dilihat semakin jauh dari jeti nelayan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Namun begitu, katanya, penyusutan paras tasik membuka rezeki kepada nelayan apabila mudah memperoleh hasil tangkapan.

“Ikan darat seperti tilapia dan baung mudah terkena pukat, jadi kami tak perlu tunggu terlalu lama untuk dapat hasil tangkapan dari tasik ini.

“Semasa musim kemarau ini, nelayan tidak perlu pergi jauh. Kami hanya perlu guna pukat dan tunggu sehingga waktu tengah hari sebelum mula mengutip hasil tangkapan,” ujarnya.

Tambahnya, dia memperoleh pendapatan antara RM80 hingga RM100 sehari, hasil tangkapan tersebut.

Terdahulu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam kenyataan berkata paras air di Empangan Muda semakin susut apabila mencatatkan takungan air hanya sebanyak 9.96 peratus. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI