JOHOR BAHRU – Empat suspek kes penculikan kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui, 6, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ini susulan tempoh tahanan reman selama empat hari terhadap dua lelaki dan dua wanita berusia 28 hingga 55 tahun itu tamat hari ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pihaknya tidak bercadang untuk melanjutkan permohonan reman terhadap kesemua tertuduh tersebut.
“Reman tidak disambung, terima kasih,” katanya ringkas ketika pemberita hari ini.
Jia Hui disedari hilang kira-kira pukul 8.30 malam, Sabtu lalu ketika Festival Bon Odori Johor di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri di sini.
Polis kemudian menahan dua lelaki dan seorang wanita di Gelang Patah kira-kira pukul 1.30 tengah hari, Isnin lalu bagi membantu siasatan.
Laporan orang hilang yang dibuat kemudian diklasifikasi sebagi kes culik sebelum seorang lagi suspek wanita ditahan pada pukul 12.15 tengah malam, Selasa.
Empat daripada lima suspek yang ditahan berhubung kes itu direman selama empat hari bermula Selasa lalu. Suspek terakhir ditahan di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor pada pukul 4.45 pagi, Selasa lalu bersama kanak-kanak tersebut.
Mangsa kini sudah kembali ke pangkuan keluarga selepas hampir 56 jam terpisah dan dilarikan dari Johor ke Selangor. – KOSMO! ONLINE