SHAH ALAM – Helah seorang pengurus syarikat jualan langsung warga China tertinggal dokumen di rumah bagi meloloskan diri gagal apabila ditahan Jabatan Imigresen, semalam.
Warga asing itu merupakan antara 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 20 hingga 40-an yang dicekup dalam operasi bermula pukul 2 petang.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, serbuan dijalankan di 26 buah premis termasuk pusat hiburan di sekitar Balakong, Seri Kembangan, Puchong dan Damansara.
Katanya, dalam operasi tersebut seramai 229 individu termasuk 87 warga tempatan telah diperiksa pihak berkuasa berkenaan.
“Semasa serbuan, kita menahan wanita warga China yang tidak mempunyai dokumen yang sah. Wanita itu bekerja sebagai pengurus syarikat jualan langsung kabel eletronik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Secara pecahan PATI yang ditahan melibatkan 13 warga Indonesia diikuti Bangladesh (8) dan masing-masing seorang Yaman, Pakistan, Sudan dan China.
Siasatan mendapati, ada PATI yang menjadi penjaja, pekerja kedai runcit, kedai makan, gunting rambut dan bengkel rambut dan pelayan pusat hiburan.
“Semua PATI dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE