PARIS – Penampilan bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 timbul sedikit kerisauan selepas pemenang gelaran 22 Grand Slam tersebut dihimpit kecederaan pada bahagian paha.
Jurulatih Nadal, Carlos Maya mendedahkan perkara tersebut selepas mengakui bahawa juara Terbuka Perancis 14 kali itu mengalami rasa tidak selesa dan menjamin bahawa pemain Sepanyol itu dapat diturunkan atau sebaliknya.
Juara Terbuka Perancis 14 kali itu dijadualkan bermain dalam acara perseorangan dan beregu lelaki bersama bintang yang sedang meningkat naik dan rakan sepasukan Sepanyol, Carlos Alcaraz di Roland Garros.
“Dia mengalami sedikit rasa ketidakselesaan pagi semalam (Rabu). Pada sebelah petang, pergerakannya semakin terhad dan sebelum ia menjadi lebih teruk dia memutuskan untuk berhenti,” katanya.
Pemain berusia 38 tahun itu tidak turun menjalani latihan pada Khamis dan Moya berharap ia adalah satu tindakan tepat dilakukan Nadal agar kecederaan tersebut tidak bertambah menjadi lebih buruk.
“Perkara paling bertanggungjawab untuk dilakukan. Jangan paksa pada masa ini dan lihat sama ada dia pulih dengan baik. Kita akan lihat bagaimana keadaan dia esok dan Sabtu.
“Apapun, saya tidak boleh menjamin apa-apa, sama ada dia akan bermain atau sebaliknya. Buat masa ini dia perlu berehat, menjalani rawatan,” tambahnya.
Nadal dijadual menentang pemain Hungary, Marton Fucsovics pada pusingan pertama acara perseorangan Ahad ini, sehari selepas bergandingan dengan Alcaraz dalam acara beregu.
Jika Nadal menewaskan Fucsovics, dia akan berdepan dengan seteru utamanya di pusingan kedua iaitu Novak Djokovic. – AGENSI