fbpx

Syarikat umrah Emraz Travel didakwa gagal bayar duit mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULKARNAIN didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini atas pertuduhan gagal membayar balik wang tuntutan bakal jemaah. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Syarikat pengendali pakej umrah dan dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 27 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar tuntutan RM229,860 kepada sembilan mangsa.

Orang Kena Saman (OKS), Emraz Travel and Tours Sdn. Bhd. dan Datuk Zulkarnain Endut serta Datin Mazuin Mustafa masing-masing berusia 43 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa gagal mematuhi award TTPM yang memerintahkan pembayaran balik berjumlah RM229,860 kepada sembilan pihak yang menuntut.

Kesalahan dilakukan di pejabat TTPM Cawangan Melaka, Aras 6, Wisma Persekutuan, Ayer Keroh di sini antara 25 September 2023 dan 19 April lalu.

MAZUIN didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini atas pertuduhan gagal membayar balik wang tuntutan bakal jemaah. – Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shafiq Mahadi dan Hakiim Izani mencadangkan jaminan RM2,000 seorang bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan melapor diri di pejabat KPDN Putrajaya sekali sebulan.

Peguam Datuk Hanif Hassan mewakili kesemua OKS merayu jaminan rendah dengan alasan syarikat tidak lagi beroperasi dan anak guamnya tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

Beliau juga memohon hanya Zulkarnain dan Mazuin sahaja diberikan jaminan sementara pengecualian diberikan kepada syarikat.

Mahkamah membenarkan kedua-kedua pengarah syarikat yang juga suami isteri dijamin RM2,700 setiap seorang bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 13 September depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, kesemua OKS turut didakwa di empat mahkamah majistret berlainan iaitu di Seremban, Negeri Sembilan; Johor Bahru, Johor; Kota Bharu, Kelantan dan Putrajaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI