CALIFORNIA – Pertahanan Chelsea, Reece James bertegas dia memerlukan sedikit masa untuk belajar dan menyesuaikan diri dengan peranan baharunya di bawah kendalian Enzo Maresca.
Kapten The Blues itu memulakan aksi persahabatan menentang Wrexham FC sebagai bek kanan dan Maresca juga dapat melihat pemain mula menyesuaikan diri dengan pendekatan dimainkannya.
James percaya yang dia mampu mendapatkan keserasian dengan taktikal dimainkan Maresca dan kini sedang menikmati setiap detik bersama pasukan.
“Banyak perbezaan berbanding apa yang pernah saya lalui, tetapi saya fikir cara ini agak sesuai dengan saya. Namun, saya masih perlu belajar tentang apa yang pengurus mahukan dan saya begitu teruja,” kata James.
Pemain berusia 24 tahun itu juga dijangka akan terus diberi kepercayaan selaku kapten dan bercita-cita untuk memainkan peranan lebih besar pada musim akan datang.
“Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, saya sering tersisih dan pastinya sesuatu yang bagus untuk kembali bermain. Untuk jadi kapten adalah satu mimpi yang kini menjadi kenyataan
“Kini kami kena bina pasukan menerusi satu ke satu perlawanan khususnya sepanjang pra musim kali ini. Saya harap apabila musim bermula, kami mampu berada pada tahap terbaik,” jelasnya. – AGENSI