KOTA TINGGI – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menjenamakan semula Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) bagi menukar persepsi dan minda penghuni rumah berkenaan terhadap projek yang dilaksanakan di bawah kementerian itu.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, rumah PPRT yang dahulunya berkeluasan 600 kaki persegi juga akan ditambah baik keluasannya kepada 680 kaki persegi.
Katanya, konsep ‘rent to own’ (sewa kepada memiliki) yang diperkenalkan akan mengurangkan beban penghuni yang mana akhirnya akan menjadikan mereka sebagai pemilik mutlak rumah tersebut.
“Rumah PPRT dulunya keluasan 600 kaki persegi kita telah ikut dasar perumahan negara dan kita tambah baik keluasan kepada 680 kaki persegi dengan standard dan piawaian dasar perumahan negara.
“Kita juga menukar persepsi dan minda untuk rumah-rumah PPRT yang baru dengan spesifikasi yang baharu ditukar menjadi Program Perumahan Rakyat Sejahtera. Ini adalah untuk menukar persepsi khalayak secara keseluruhannya kepada mereka yang huni rumah-rumah tersebut dan tukar minda penghuni serta ahli keluarga terhadap apa yang kita lakukan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan rumusan di Pemukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di Pusat Konvensyen Desaru, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, bagi tahun 2024 KKDW telah memperuntukkan RM460.4 juta untuk membina 3,000 unit PPRS dan membaik pulih 12,600 unit rumah berkenaan. – KOSMO! ONLINE