PARIS – Juara Ligue 1 edisi 2009, Bordeaux akhirnya ‘terkubur’ selepas disahkan muflis sekali gus bakal menjadi kelab amatur buat kali pertama sejak ditubuhkan pada 1937 ekoran kemelut hutang yang tinggi.
Sebagai rekod, Bordeaux telah diturunkan ke divisyen ketiga Liga Perancis yang dikenali sebagai Kejohanan Nasional selepas gagal melepasi penilaian kewangan oleh Majlis Pengurusan Kewangan Kebangsaan (DNCG)
Difahamkan, kelab terbabit perlu mencari €40 juta (RM202.67 juta) untuk seimbangkan kewangan mereka dan sudah berbincang dengan pemilik Liverpool, Fenway Sports Group (FSG).
Bagaimanapun, firma terkemuka Amerika Syarikat (AS) itu membuat keputusan untuk menarik diri.
“Kelab terpaksa melepaskan permohonan untuk penstrukturan semula sekali gus tidak mampu untuk mengekalkan status profesionalnya” kata kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Sementara itu, ahli politik tempatan, Pierre Hurmic menyalahkan pemilik kelab, Gerard Lopez sebagai individu yang bertanggungjawab atas keputusan tersebut kerana dilihat boros dalam mengawal kewangan pasukan sejak beberapa musim lepas.
Bordeaux sebelum ini pernah melahirkan beberapa bintang ternama bola sepak Perancis seperti Zinedine Zidane, Bixente Lizarazu, Sylvain Wiltord dan Aurelien Tchouameni.
Lizarazu menganggap apa yang berlaku adalah kebodohan pemimpin yang gagal dalam menguruskan kelab bola sepak dengan sempurna sehingga menyaksikan Bordeaux akhirnya ‘terkubur’. – AGENSI