DUNGUN – Seorang wanita kemurungan yang hilang setelah keluar rumah di Felda Kerteh 6, Ketengah Jaya di sini sejak Isnin lalu akhirnya berjaya ditemui ahli keluarganya semalam.
Anak sulungnya, Maisarah Zailan, 29, berkata, sewaktu ditemui pada pukul 12.45 tengah hari, ibunya, Salina Abdullah, 50, dalam keadaan baik dan sihat.
“Alhamdulillah, mak saya (Salina) akhirnya ditemui dalam keadaan sihat dan selamat setelah empat hari mencari.
“Terima kasih kepada semua pihak yang turut membantu mencari ibu saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Begitupun, Maisarah enggan mendedahkan lokasi ibunya ditemui demi menghormati privasi keluarganya.
Sebelum ini, Salina yang menghidap kemurungan tahap dua tidak pulang ke rumah selepas keluar rumah dengan memandu kenderaan pelbagai jenis, Perodua Alza berwarna putih pada pukul 4 petang, Isnin lalu.
Anak-Anak Salina termasuk Maisarah mencari ibu lima anak itu sehingga ke Besut, manakala suaminya, Zailan Md Noor, 54, yang bekerja di Kuala Lumpur turut melakukan pencarian di ibu negara. – KOSMO! ONLINE