fbpx

[VIDEO] Kami mahu nasib arwah terbela – Keluarga Nur Farah Kartini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suzur Sofia (kiri) berjalan keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, hari ini. - Foto oleh oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

HULU SELANGOR – Keluarga Nur Farah Kartini Abdullah, 25, berpuas hati apabila anggota polis yang ditahan berhubung kes kematian mangsa dihadapkan ke muka pengadilan hari ini.

Sepupu mangsa, Suzur Sofia Smeth Jaya, 33 berkata, dia dan adik iparnya hadir mewakili keluarga mangsa pada prosiding pertuduhan kes itu di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, di sini.

“Positif dan menerima baik (pertuduhan). Abang Farah akan hadir pada sebutan semula kes ini 30 Ogos ini.

“Setakat ini berpuas hati keputusan mahkamah. Kita mahu nasib arwah (Nur Farah) terbela dan mahukan keadilan,” katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Kuala Kubu Bharu hari ini.

Terdahulu, Muhammad Alif Monjani, 26, didakwa membunuh teman wanitanya, Nur Farah Kartini Abdullah yang mana mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di sini tiga minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada anggota polis berpangkat lans koperal itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Alif didakwa membunuh Nur Farah Kartini di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam antara pukul 9 pagi, 10 Julai hingga pukul 6 petang, 15 Julai lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan bagi serahan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan Telekomunikasi (telco).

Ketika prosiding tertuduh diwakili peguam Aida Jaafar Mad Ariff dan Nur Aida Md Zainuddin.

Mahkamah menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI