JAKARTA – Seorang wanita terpaksa berputih mata apabila wang miliknya bernilai 94 juta rupiah (RM27,000) bertaburan di atas jalan raya ketika menaiki motosikal, baru-baru ini.
Menurut laporan Tribunnews hari ini, insiden itu berlaku ketika Redi Areni yang berasal dari Buleleng, Bali bersama anaknya, Putu Suci menaiki motorsikal melalui wilayah Baturiti, Tabanan untuk ke Denpasar.
Wang tersebut disimpan di dalam tas tangan berwarna hitam dan dipegang oleh Putu.
Ketika berhenti di wilayah Bedugul, Putu membuka beg ibunya untuk mengambil topi dan lupa menutupnya kembali.
Kejadian itu hanya disedari oleh Redi apabila pemandu sebuah trak merah memberitahu wangnya bertaburan di atas jalan ketika tiba di wilayah Abianluang, Baturiti.
Terkejut dengan pemberitahuan itu, Redi segera memeriksa begnya dan mendapati semua wangnya telah tiada.
Mangsa telah membuat laporan polis di balai Baturiti berkenaan kehilangan wang yang sepatutnya dilaburkan untuk perniagaan di Perseroan Terbatas (PT) Manohara Asri.
Sejurus selepas kejadian itu, sebuah video orang ramai mengutip wang di atas jalan raya tular di media sosial.
Dalam video tersebut, sejumlah penduduk dilihat berebut mengumpulkan wang yang beterbangan di jalan raya sehingga mengakibatkan kesesakan jalan yang teruk.
Ketua Polis Baturiti, Asisten Komisioner Fachmi Hamdani memberitahu pihaknya belum dapat membuat pengesahan sama ada wang itu adalah milik Redi atau tidak.
Pihaknya memberitahu satu siasatan lanjut akan dilakukan bagi memastikan kesahihan video tular berkenaan.
“Kami belum dapat mengesahkan bahawa tempat kejadian itu di Baturiti jadi kami akan menjalankan siasatan lanjut,” katanya. – Agensi